'Penganjur yang ajak dia ke depan' - Syed Saddiq nafi abang wakilinya di acara e-sukan

'Penganjur yang ajak dia ke depan' - Syed Saddiq nafi abang wakilinya di acara e-sukan
Syed Saddiq menjelaskan beliau tidak akan membenarkan ahli keluarga mewakilinya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan abangnya Syed Abdullah Syed Abdul Rahman mewakilinya ke pusingan akhir kelayakan e-sukan peringkat kebangsaan Sabtu lalu.

Menerusi akaun Twitternya, Syed Saddiq menjelaskan penganjur acara tersebut yang mengajak abangnya untuk duduk di bahagian depan.

"Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun any special treatment.
"Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakli saya. It’s wrong!" tulis Syed Saddiq.


Sementara itu, ESport Malaysia (ESM) dalam satu kenyataan menjelaskan kehadiran Syed Abdullah ke acara tersebut adalah atas kapasiti peribadi.

"Setelah penelitian semula dibuat, beliau (Syed Abdullah) tidak dijemput dan kehadiran beliau pada program tersebut bukanlah mewakili YB Menteri ataupun Kementerian Belia dan Sukan.

"Namun kehadiran beliau adalah di atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik," kata kenyataan itu.

ESM juga menjelaskan atas semangat menghormati menteri belia dan sukan, pihaknya menyantuni dan menghargai kehadiran Syed Abdullah yang sangat meminati e-sukan.

Sebelum ini, tular gambar Syed Abdullah di acara tersebut dan didakwa mewakili Syed Saddiq yang tidak dapat hadir.