Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyifatkan penganugerahan semula gelaran Datuk Seri kepadanya adalah satu pengiktirafan besar kepada rakyat Terengganu.

Menurut Ahmad Razif, beliau bersyukur dan menjunjung kasih kepada Ke Bawah Duli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Dengan penganugerahan (semula gelaran) ini telah memberikan satu pengiktirafan yang besar kepada rakyat negeri Terengganu juga. Satu pengiktirafan kepada rakyat negeri Terengganu dan InsyaAllah ini akan mewujudkan satu kekuatan kepada negeri Terengganu sendiri,” katanya selepas Majlis Anugerah Pingat Emas dan Apresiasi kecemerlangan pelajar tajaan Yayasan Terengganu luar negara tahun 2016 di sini hari ini.

BACA: Sultan Terengganu perkenan kurnia kembali 'Datuk Seri' kepada Razif

Sultan Mizan dilaporkan berkenan mengurniakan kembali darjah kebesaran negeri Terengganu kepada Ahmad Razif yang membawa gelaran Datuk Seri.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada Khamis.

Pada 22 April lalu, semua gelaran terhadap Ahmad Razif dilucutkan setelah menerima gelaran yang sama pada April 2015 dan darjah Datuk Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012.

Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.