Seorang pengarah syarikat aksesori kenderaan bergelar 'Datuk' mengaku tidak bersalah hari ini atas enam pertuduhan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah lebih RM3,000 sebelum tarikh ia berkuat kuasa, tiga bulan lepas.

Datuk Wong Goang Ching, 51, pengarah syarikat Brother's Factory Outlet (M) Sdn. Bhd bertempat di Kelana Jaya, Selangor didakwa mengenakan dan melevi cukai terhadap pembekalan aksesori kenderaan berjumlah RM3,681.48 sebelum tarikh GST berkuat kuasa 1 April lepas.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen melakukan perbuatan itu di syarikat berkenaan di Kelana Jaya, Petaling Jaya antara 25 Mac dan 31 Mac lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 183 (1) Akta GST 2014 (GST) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 96 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Azhari Abdul Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 29 Jun sebagai tarikh sebutan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris manakala peguam M. Manoharan mewakili tertuduh.