Seorang pengarah sebuah syarikat pembekal barang aluminium mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat satu pernyataan palsu berhubung status syarikatnya, lapan tahun lepas.

Tey Teck Chin, 42, pengarah Syarikat Weng Sieng Aluminium Sdn Bhd didakwa membuat penyataan palsu berhubung status sebenar syarikatnya yang tidak mempunyai sebarang aset mahupun liabiliti di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di Tingkat 2, 10-17, Putra Place, 100 Jalan Putra, di sini, pada 31 Mei 2008.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 364(2) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa daripada SSM, Nurul Husna Mohd Yusof menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Tey yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan itu dikurangkan.

Hakim Harmi Thamri Mohamed @ Shaharuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta untuk tertuduh melantik peguam.

-- BERNAMA