Pengasas dan Pengerusi pertama Kelab Veteran UMNO, Tan Sri Tajudin Ali, 95, meninggal dunia di rumahnya di Hala Gopeng off Jalan Sultan Nazrin Shah di sini, pagi tadi.

Allahyarham merupakan bekas wakil rakyat kawasan Kinta Utara (1955) dan tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Larut mulai 1959, ketika zaman Allahyarham Tuanku Abdul Rahman al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menjadi Perdana Menteri.

Pada 1974, Allahyarham menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau dan dilantik sebagai exco kanan.

Menurut anak Allahyarham, Amirudin, ayahnya dimasukkan ke hospital dua minggu lalu, dipercayai kerana jangkitan paru-paru.

Allahyarham kemudiannya dibawa balik ke rumahnya dua hari lalu, sebelum meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan sempat meluangkan masa melawat Allahyarham selepas solat Jumaat.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Sungai Ara, Pantai Besar, Batu Kurau, bersebelahan kubur kedua ibu bapanya selepas solat asar hari ini.

Allahyarham memulakan pendidikan di sekolah King Edward Taiping dan berkongsi minat bermain hoki bersama Tun Abdul Razak yang mewakili MCKK pada ketika itu.

Selepas belajar Allahyarham berkhidmat sebagai kostabel dengan nombor polis 3414 dan sewaktu Perang Dunia Kedua, Allahyarham bertugas di bahagian pengedaran makanan kepada orang ramai pada ketika itu.

Allahyarham juga berniaga dengan membuka stesen minyak di Tanjung Tualang, Perak dan bas Perak Roadway.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Putri Sharifah Megat Abd Rahman, 89, dan sembilan orang anak.