Persatuan Pengasih Malaysia menggesa Peguam Negara mengkaji semula kesalahan menggunakan daun ketum yang kini mengikut Akta Racun kepada Akta Dadah Berbahaya, selain mengklasifikasikan kegiatan menghidu gam sebagai kesalahan di bawah akta sama.

Presidennya, Datuk Mohd Yunus Pathi berkata langkah itu perlu untuk membanteras penyalahgunaan daun ketum yang boleh membuatkan peminum air daripada daun itu menjadi penagih jika mengambilnya berulangkali termasuk dicampur dengan minuman tertentu.

Beliau berkata satu kajian yang dijalankan Pengasih melibatkan lebih 10,000 responden mendapati ada dalam kalangan dewasa berusia sekitar 40-an meminum air ketum dicampur dengan kopi atau minuman lain untuk meningkatkan tenaga.

"Ini bermakna ia bukan sahaja diambil oleh penagih malah menjadi amalan harian pihak lain yang boleh membawa mudarat jika diambil berulangkali secara berterusan," katanya kepada pemberita di Rumah Pengasih di sini hari ini.