Para doktor sepatutnya menjadi pihak yang memberikan ubat-ubatan kerana pengasingan dispensari hanya akan mengakibatkan kesulitan dan boleh membahayakan nyawa pesakit, ujar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga memberitahu, jika fungsi farmasi diasingkan daripada klinik dan hospital, masalah akan timbul dalam keadaan tertentu apabila pesakit memerlukan ubat pada waktu malam sedangkan dispensari ditutup.

“Saya tahu, saya sendiri pernah menjadi pengamal perubatan. Mereka menghubungi saya pada waktu seperti 3 pagi, 4 pagi. Pada waktu itu, dispensari sudah ditutup,” ujar beliau dalam sebuah sidang media hari ini.

Jelas Mahathir, dalam kes tertentu, ada pesakit yang tidak dapat bergerak lalu meminta bantuan orang lain mendapatkan ubat di dispensari berdasarkan preskripsi yang diterima. Dalam situasi tersebut, ia memakan masa dan memberi masalah kepada pesakit.

Sistem pengasingan dispensari, menurut beliau, boleh terlaksana hanya jika dispensari dibuka 24 jam memandangkan ‘orang jatuh sakit tidak kira masa’.

Tambahnya, sistem yang ada sekarang ini adalah lebih murah kerana doktor yang memberikan ubat-ubatan adalah lebih efisien dari segi kos.

“Farmasi hanya ‘kerja’ sekian-sekian jam (dalam waktu tertentu). Pada saya, lebih baik jika doktor yang terus memberikan ubat,” ujar beliau.

Pada 24 Februari lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mengatakan bahawa Rang Undang-Undang Farmasi yang baharu masih dalam peringkat penilaian untuk mengumpulkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara.

“Antara isu yang masih dalam kajian di bawah rang undang-undang baharu itu adalah mengenai pilihan untuk membolehkan pemberian ubat-ubatan oleh kedua-dua pihak farmasi dan pengamal perubatan,” kata Subramaniam.

Tambah beliau, perbincangan lanjut antara Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal dan banyak lagi pihak berkepentingan masih berlangsung.