Seorang pengawal keselamatan di sebuah kedai kereta berdepan detik cemas apabila diikat oleh empat lelaki yang memecah masuk premis itu Pusat Perniagaan Amanjaya, di sini awal pagi ini.

A. Arumugan, 58, berkata ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, dia sedang duduk membaca surat khabar di hadapan kedai sebelum didatangi empat pencuri terbabit yang menaiki sebuah kereta putih.

"Masa saya duduk di luar, saya lihat sebuah kereta berwarna putih lalu sebelum memberhentikan kereta di tepi kedai. Sebaik berhenti mereka terus meluru ke arah saya dan meletakkan pisau di bahagian leher sebelum mengarahkan supaya tidak membuat bising.

"Mereka ikat kaki dan tangan selain turut menyumbat mulut saya menggunakan kain. Mereka seret saya ke satu tempat sebelum memecahkan pintu kaca hadapan kedai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Beliau berkata mereka memecahkan pintu kaca tersebut menggunakan besi dan terus meluru masuk ke dalam pejabat untuk mengambil kunci kereta.

"Mereka cuba melarikan kereta yang diletakkan di dalam kedai namun tidak berjaya. Mereka keluar semula dan membawa lari tiga buah kereta jenis Nissan Sylphy, Nissan Almera dan Proton Persona.

"Selepas mereka beredar, saya berjaya melepaskan diri dari ikatan dan terus memaklumkan kejadian kepada pengurus kedai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa mengesahkan menerima laporan daripada pemilik kedai berhubung kes curi itu dan menurutnya dianggarkan pemilik kerugian RM229,000.