Pengawal keselamatan yang dipukul seorang lelaki ketika bertugas telah tampil memberi keterangan kepada polis semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Rajab Ahad Ismail, pihaknya telah bekerjasama dengan Kedutaan Nepal untuk mengesan mangsa.

"Pada petang Rabu, lelaki berusia 26 tahun itu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju dan mengaku merupakan mangsa dalam kes berkenaan.

"Keterangan lengkap mengenai kejadian telah diambil oleh pegawai penyiasat kes dan mangsa telah memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

"Kertas siasatan kini dalam proses akhir untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Rajab berkata pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti jenayah atau tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang.

Isnin lalu, polis menahan seorang lelaki warga Nepal bagi membantu siasatan kes pukul pengawal keselamatan yang tular di media sosial.

Pada 31 Julai, satu rakaman video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan dipercayai warga asing menggunakan sebatang kayu.

Siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di tempat letak kereta sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 7 Julai lalu.