Seorang pengawal keselamatan dan penjaga stor dituduh secara berasingan di Mahkamah Sesyen Butterworth, petang Selasa, atas tuduhan terlibat dengan kegiatan kumpulan pengganas Harimau Tamil Eelam (LTTE).

Di Mahkamah Sesyen Jenayah (1), tertuduh pertama, M. Pumugan, 29, yang masih bujang menghadapi dua pertuduhan menyimpan item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan LTTE.

Mengikut pertuduhan pertama, Pumugan dituduh memiliki item berkaitan kegiatan keganasan LTTE dalam telefon bimbit Samsung pada 12 Oktober 2019 jam 3.16 petang di pekarangan parkir NSE Lorry Transport, Lorong Industri Ringan 14, Seberang Prai Tengah.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyimpan item yang mempunyai kaitan dengan LTTE di sebuah rumah bernombor 693, Jalan Juru, Bukit Mertajam pada 12 Oktober 2019 jam 4.15 petang.

Atas kesalahan itu dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Hakim Norhayati Mohd Yunus kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, dalam Mahkamah Sesyen Jenayah (2), tertuduh kedua, S Thanagaraj, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah.

Dia dituduh menyimpan item yang berunsur keganasan dan mempunyai kaitan dengan LTTE pada 12 Oktober 2019 jam 10 pagi di SKY Thomas Food Industries Sdn Bhd, No 1066 Jalan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyimpan item yang mempunyai kaitan dengan LTTE di rumah No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera, Bukit Mertajam.

Hakim, Noor Aini Yusof tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kedua-dua kes dilakukan Pegawai Pendakwaraya Yusaini Amir Abdul Karim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Dr N Ahilan.

Seorang pengawal keselamatan, M.Pumugam, 29, didakwa di Makamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE. - Foto BERNAMA

Ahilan meminta mahkamah tidak melewatkan perbicaraan bagi mengelakkan tertuduh sengsara dalam penjara kerana menghidap sawan.

Selain itu katanya, pertuduhan ke atas tertuduh juga tidak selari dengan pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Pumugan dan Thanagaraj antara 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 10 dan 12 Oktober lalu.