Seorang pengawal keselamatan sebuah syarikat penerbangan dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan berkaitan kumpulan Daish.

Tertuduh, Ekanovaldi Abbas, 37 tahun yang beralamat di Taman Tas Kuantan, ditahan di ruang legar Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan kira-kira jam 11.40 pagi pada 27 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan kesalahan memiliki 32 gambar berkaitan kumpulan Daish yang disimpan di dalam galeri telefon bimbit.

Bagi pertuduhan kedua di sebuah rumah di Taman Tas kira-kira jam 12.30 tengah hari pada tarikh sama, dia didakwa memiliki empat buku berkaitan kumpulan Daish.

Buku tersebut adalah sebuah buku bertajuk Al-Wala' Wal-Bara, Konsep Loyalitas dan Permusuhan Dalam Islam dan tiga buku bertajuk Tarbiyah Jihadiyah Jilid 1-16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan bagi kedua-dua pertuduhan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara untuk tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda.

Mahkamah tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada tertuduh yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Aisah Mohamed.

Noor Aisah menetapkan 30 Mac ini sebagai sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizzat Amadan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.