Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Pantai Dalam, ibu negara, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields Zairulnizam Mohd Zainuddin, suspek berusia 28 tahun itu menjalankan aktiviti pengedaran dadah di kawasan pangsapuri berkenaan sejak sebulan lalu.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja tetra hydrocannibol (THC) dan mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Polis turut merampas satu paket dadah jenis Methamphetamine seberat 1,020 gram (RM40,350), dan 100 keping foil Pil Eramin (RM15,000) dengan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM55,350.

"Suspek ditahan reman selama enam hari bermula Rabu sehingga 28 Julai ini bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zairulnizam berkata Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields juga sedang mengesan seorang lagi lelaki dipercayai menjadi dalang pembekal dadah kepada suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Zairulnizam turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan dadah dan tindakan tegas akan diambil jika disabitkan kesalahan.

Polis IPD Brickfields menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah untuk menghubungi di talian +60 3 2297 9222.