Gelagat mencurigakan dua lelaki yang asyik mundar-mandir di tepi jalan akhirnya merungkai rahsia apabila mereka dicekup polis kerana memiliki tujuh peket plastik jernih berisi dadah jenis syabu dalam tangkapan di Jalan Tuaran, Inanam, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari Selasa, kedua-dua suspek yang berusia 23 dan 45 tahun berkenaan ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hasil daripada maklumat orang ramai dan risikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M. Chandra berkata, siasatan mendapati dua suspek terbabit ketika ditahan sedang berurus niaga dadah syabu itu sebelum berjaya ditangkap dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan maklumat orang awam, polis narkotik IPD Kota Kinabalu membuat intipan di Jalan Tuaran lalu mendapati dua lelaki sedang buat transaksi pengedaran dadah dan semasa serbuan, kita berjaya menemui tangkapan 215.52 gram syabu di mana nilai pasarannya RM20,000," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan IPD Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas lanjut, Chandra berkata, semua rampasan dan tangkapan itu sudah dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.