Pengeksportan durian ke negara luar seperti China tidak menyebabkan harga tempatan buah tersebut melonjak naik.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya sedar wujud kenaikan harga di luar kebiasaan.

"Sebenarnya punca kenaikan harga ini bukan kerana eksport tetapi faktor musim di mana pengeluaran durian turun pada musim ini.

"Jika kita lihat daripada statistik, pengeluaran musim ini hanya sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding sepatutnya," jelas Ahmad Shabery.

Selain itu, beliau berkata isu harga tinggi durian tidak perlu dilihat secara negatif.

"Harga tinggi bukanlah masalah. Masalah berlaku apabila tiada harga disebabkan lambakan.

"Oleh itu, pengusaha kebun durian harus melihat pasaran yang luas sebagai perkembangan positif bagi mereka," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai adakah benar dakwaan pihak pembangkang pengeksportan durian ke China telah menyebabkan harga buah tersebut melambung tinggi di pasaran tempatan.