KUALA LUMPUR:Pengeluaran wang akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dilaksanakan namun ia perlu dilakukan secara bersasar iaitu hanya kepada mereka yang memerlukan.

Menurut Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Perkeso, Prof Madya Dr Yusof Saari, cadangan itu harus dikaji secara berhati-hati kerana ia melibatkan insurans persaraan pekerja dan pinjaman kerajaan dalam pelaksanaan projek serta pelaburan jangka masa panjang.

“Cadangan saya ialah kerajaan cari titik tengah antara kehendak rakyat dan ekonomi, justeru paling ideal ialah membenarkan pengeluaran hanya kepada mereka yang memerlukan tapi ia tidak boleh diberikan secara lump sum tapi bulanan.

“Pihak pekerja ada yang masih terkesan gaji dipotong, dibuang kerja, tidak dapat kerja yang lebih baik dan mereka ini perlu dibantu namun sudut ekonomi pula, KWSP adalah satu sumber pinjaman kerajaan domestik untuk melaksanakan projek dan pelaburan.

“Jadi jika kerajaan benarkan RM10,000 setiap orang kita akan dapati kekurangan dana yang sangat besar dan memberi kesan kepada pelaburan, ekonomi makro.

"Jadi perlu berhati-hati mengimbangi pihak yang memerlukan dan kesan ekonomi jangka masa panjang,” katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Tambah Yusof, langkah pengeluaran KWSP banyak diguna pakai negara-negara maju untuk meringankan beban rakyat dan meminimumkan kesan ekonomi akibat COVID-19.

Justeru, kerajaan perlu mencari titik tengah antara pihak yang memerlukan iaitu pekerja dan kesan ekonomi.

Isnin lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan KWSP supaya membenarkan pencarum mengeluarkan maksimum RM10,000 secara one off bagi mengharungi cabaran impak wabak COVID-19.

Bagaimanapun perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan sukar bagi kerajaan membenarkan wang akaun satu KWSP kerana dibimbangi akan menghadapi masalah yang lebih besar di masa hadapan.

Malah Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias turut menyatakan caruman di KWSP ialah insurans masa hadapan pencarum dan jika pengeluaran simpanan dari akaun itu dibenarkan ia bakal membahayakan mereka untuk mendapatkan perlindungan tersebut.