Pengerusi baharu Felda perlu mempunyai dua ciri penting iaitu menguruskan komuniti, dan perniagaan dalam Felda.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Mohamad Fadzli Hassan berkata ia perlu bagi memastikan nasib peneroka terbela.

“Saya berharap Pengerusi Felda yang baharu ini mempunyai dua kelebihan.

“Pertama iaitu menguruskan komuniti, dan kedua menguruskan perniagaan dalam Felda.

“Ini penting bagi memastikan Felda kekal sampai bila-bila selain membela nasib 112,635 peneroka yang merupakan pendiri Felda sendiri,” kata Mohamad Fadzli ketika dihubungi Astro AWANI dalam program Komen Tengahari pada Selasa.

Mohamad Fadzli dalam pada itu berharap agar pelan yang telah digariskan perlu diteruskan oleh Pengerusi Felda yang baharu.

Sementara itu, beliau juga meluahkan rasa terkejut dengan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor sebagai Pengerusi Felda.

Menurutnya, Megat Zaharuddin sudah mula memahami aliran kerja Felda dan merancang beberapa perkara dengan kerajaan untuk memulihkan syarikat itu melalui pembentangan kertas putih Ke Arah Kelestarian Felda.

BACA: Tan Sri Mohd Bakke kembali terajui Felda?


Beliau juga memberikan penekanan bahawa MBFM sedia bekerjasama dengan pengerusi baharu yang bakal dilantik kerajaan untuk menerajui tampuk kepimpinan Felda.

“Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa untuk menerajui Felda.

“Generasi Felda ini ramai di seluruh negara iaitu di kesemua 317 rancangan Felda dan ia bakal diwariskan kepada kami, generasi baharu Felda.

“Jadi selaku Presiden MBFM, saya memberi komitmen untuk bekerjasama dengan sesiapa pun, yang penting untuk membela Felda dan juga warganya,” tambahnya.

Megat Zaharuddin mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa 30 Jun 2019, menurut kenyataan oleh Felda.

BACA: