Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Rakyat yang baharu akan dilantik dalam masa yang terdekat.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dalam satu sidang media di lobi parlimen hari ini.

Jelasnya, calon yang dipilih bukan dari kalangan ahli politik dan ada integriti.

Kata Mohd Redzuan, penyingkiran Tan Sri Shukry Salleh sebelum ini adalah kerana beliau tidak menepati agenda Bank Rakyat.

“Sebenarnya kita berhemah. Kita ada visi untuk bangunkan dalam Pakatan Harapan ini, begitu juga dengan Bank Rakyat.

"Kita masih dalam proses pembentukan lembaga pengarah untuk memenuhi visi kita dalam hala tuju membangunkan perniagaan yang boleh dimudahcara oleh Bank Rakyat dari segi penggunaan dana bank.

“Sepatutnya kita akan tukar. Namun ada keadaan semasa libatkan integriti dan satu pengkhianatan kepada negara jadi saya tidak teragak untuk menyingkirkan beliau sebagai pengerusi Bank Rakyat,” katanya.

Jelasnya lagi, tindakan menukar laporan audit adalah menjadi satu kesilapan besar .

“Kalau itulah cara profesional yang mengetuai pengurusan, maka dia tidak boleh lama dan saya perlu singkirkan beliau dan memberi ruang kepada orang yang ada lebih,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, Shukry telah disingkirkan dari jawatan beliau sebagai Pengerusi lembaga pengarah Bank Rakyat serta-merta.

BACA: 1MDB: Shukry Salleh disingkir sebagai Pengerusi Bank Rakyat serta-merta

Penyingkiran ini diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan.

Terdahulu, Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Abdullah telah mendakwa bahawa Shukry telah mengarahkan pasukan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menggugurkan fakta-fakta penting dari Laporan Pengauditan Akhir 1MDB pada tahun 2015.

Madinah mendakwa, Shukry mengarahkan agar pembabitan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB digugurkan atas alasan mengelakkan pihak pembangkang (pada ketika itu) dari mempolitikkan isu ini.