Parti Islam SeMalaysia (Pas) berpendapat, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Harun tidak perlu meletakkan jawatan seperti yang didesak segelintir pihak.

Ini kerana, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengerusi dan Ahli SPR telah terbukti tidak memihak sepanjang menjalankan tugas.

"Pas melihat SPR di bawah kepimpinan Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun telah menjalankan tugas mereka mengendalikan penjalanan pilihan raya terutama beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini dengan cekap, profesional dan kelihatan tidak memihak," kata Takiyuddin dalam kenyataan media yang diedarkan pada Sabtu.

Menurut beliau lagi, perubahan kerajaan Persekutuan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional baru-baru ini tidak bermakna Pengerusi SPR itu harus meletak jawatan.

"Adalah jelas dalam Perlembagaan tidak ada peruntukan yang bermaksud sedemikian selagi mereka yang dilantik dalam SPR masih mendapat kepercayaan awam," kata Takiyuddin lagi.

Beberapa hari hari lalu, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata menggesa Azhar meletakkan jawatan susulan perubahan kerajaan ketika ini.

Tindakan itu, kata Wan Ahmad, bagi membolehkan SPR dilihat berfungsi sebagai sebuah badan perlembagaan yang bebas dan berkecuali.