Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meminta maaf di atas penafian beliau terhadap pendedahan berhubung pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kuala Lumpur.

"Ya, maaf di atas kesilapan komunikasi. Tidak benar mengenai RM722 juta untuk membeli dua bidang... itu yang saya nafikan," kata Abdul Azeez menerusi laman mikro Twitternya.


Semalam, Abdul Azeez, juga menerusi Twitter, menafikan pendedahan yang dibuat oleh beberapa blog mengenai TH membeli dua bidang tanah bernilai RM772 juta yang merupakan sebahagian projek Tun Razak Exchange (TRX) oleh 1MDB .

"Tak betul. TH akan keluarkan kenyataan secepat mungkin. Terima kasih. Saya akan jalankan tanggungjawab dan amanah diberi. At the end of the day, the results that matter most," tulis beliau di Twitter.

BACA: Azeez arah pengurusan Tabung Haji jawab isu pembelian tanah 1MDB

Hari ini, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah menerusi kenyataan hari ini mengesahkan telah membeli tanah bagi tujuan pelaburan hartanah di TRX.

Namun, Johan dalam kenyataannya menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam beberapa blog.

BACA: Tabung Haji sahkan pembelian hartanah di Tun Razak Exchange

Isu pembelian tanah milik 1MDB oleh TH ini juga mendapat perhatian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menggesa pemimpin utama negara memberikan penjelasan yang boleh menghilangkan kerisauan rakyat.

BACA: Isu tanah TRX: Beri jawapan untuk hilang kerisauan rakyat - Dr Maza