Jabatan Pendidikan Negeri Sabah telah menyiasat dakwaan seorang pengetua sebuah sekolah di sini menghantar mesej berunsur seksual kepada pelajar.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata setakat ini dakwaan membabitkan pengetua berkenaan yang dibuat oleh pelajar terlibat, dalam proses siasatan di bawah Jawatankuasa Tindakan Tatatertib jabatan itu.

"Tindakan seterusnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan itu dan setakat ini beliau belum menerima hasil siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar nasional pada Ahad lepas yang melaporkan keluarga pelajar terlibat mahu siasatan dilakukan terhadap tindakan pengetua berkenaan.

Ibu bapa pelajar yang menerima mesej daripada pengetua berkenaan mendakwa sudah membuat laporan polis pada awal bulan ini.

Yusof berkata setakat ini pengetua berkenaan masih bertugas dan tindakan akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan dengan kerjasama pihak polis.

-- BERNAMA