Seorang pengetua sekolah di Butterworth didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajarnya pada tahun lepas.

Tertuduh, Zainuren Mohamed, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan menerusi dua prosiding di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Hakim Norhayati Mohamad Yunus itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki berusia 11, 13 dan 14 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik khas pengetua dan asrama di sebuah sekolah model khas di Butterworth.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antaranya sekitar 6 April dan 10 Oktober 2018 pada jam 4 petang hingga 11.40 malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Kamaliza Md. Zain, manakala tertuduh diwakili peguam E. Gnasegaran.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin yang keseluruhannya berjumlah RM54,000 beserta penjamin.

Kes itu akan disebut semula pada 25 Februari depan.