Seorang buruh binaan warga Indonesia berusia 23 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan membabitkan pengganas Daish, tengah bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Al-Arshy Mus Budiono didakwa memberi sokongan kepada aktiviti Daish dan memiliki beberapa barangan yang mempunyai logo bendera kumpulan militan itu seperti sebilah pisau serta sarungnya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di No. 18067- tingkat atas, Jalan Pasir Putih, Kampung Pasir Petaling, Jalan Klang Lama di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 17 Januari lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan kes akan disebut semula pada 14 Mac ini.

Sebelum Ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memaklum seorang lelaki warga Indonesia telah ditahan kerana dipercayai merancang melancarkan serangan ke atas stor senjata api dan melarikan senjata di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Balai Polis Travers.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Mohd Ar-Arshy turut dihukum penjara empat bulan dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pas yang sah untuk berada di negara ini.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Klasik Hijau, Jalan Awan Hijau, Taman Overseas Union, Brickfields di sini kira-kira pukul 3 petang, 17 Januari lalu.

Bagi kesalahan ini, pertuduhan dibuat mengikut Seskyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak melebihi enam kali.