Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum masih memilih untuk menutup mulut apabila ditanya mengenai siapa yang bakal menggantinya selepas beliau bersara wajib bulan depan.

Ketika memberi respon, Malanjum hanya ketawa dan enggan mengulas mengenai isu tersebut.

“Soalan itu adalah soalan RM1 juta,” katanya pada pada sidang media selepas majlis pelancaran buku ‘Our Constitution’ oleh Pakar Undang-Undang perlembagaan, Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi di Auditorium Tun Mohamed Suffian Fakulti Universiti Malaya.

Tambahnya, pesaraan empat hakim kanan pada tahun ini termasuk Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zahara Ibrahim, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah tidak akan menjejaskan Badan Kehakiman.

“Mahkamah Atasan secara keseluruhan mempunyai 150 hakim.

“Oleh itu, ia mencukupi kerana terdapat banyak hakim dan tidak akan menjejaskan Badan Kehakiman,” tambahnya.

Mengulas sama ada kerajaan diberi tekanan untuk melantik Ketua Hakim Negara yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, beliau berkata ia merupakan hak istimewa Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

Sementara itu, beliau turut berharap agar para hakim dapat terus mempertahankan perlembagaan negara.

"Cabaran paling besar bagi kita sebagai hakim adalah untuk sentiasa mengingati bahawa asas perlembagaan ialah prinsip perundangan bukannya diperintah oleh undang-undang.

"Agak menyedihkan kerana kadang-kala ada rakan sekerja yang berkata 'itu lah undang-undangnya, ikut saja lah' tanpa menyedari bahawa undang-undang itu adalah bertentangan dengan semangat prinsip perundangan.

"Itu yang perlu diingatkan apabila kita melihat kepada perlembagaan dan saya berpendapat dengan cara itu kita dapat memastikan demokrasi sentiasa hidup di negara ini," tegasnya.