Tan Sri Annuar Musa memutuskan untuk membatalkan pertemuan dengan Naib Canselor University of Auckland, Professor Stuart McCutcheon yang dijadual esok.

Jelas Annuar, pembatalan pertemuan itu dibuat bagi menghormati penggantungan tugasnya sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta-merta menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Mara yang dikatakan berlangsung tanpa pengetahuannya hari ini.

Beliau yang berada di New Zealand bagi urusan rasmi berkaitan Mara akan pulang ke Kuala Lumpur pada Khamis depan.

MESTI BACA: Saya akur dan akan bekerjasama dalam siasatan - Annuar Musa

MESTI BACA: Mara gantung tugas Annuar Musa


"Saya sekarang berada di luar negara atas urusan rasmi Mara.

"Hari ini saya baru sahaja selesai mesyuarat bersama Kolej Yayasan Saad dan Queenstown Recreational College (Otago University) dan dijadualkan bertemu Vice Chancellor University of Auckland sebelum berlepas pulang Khamis.

"Program ini akan saya batalkan kerana menghormati penggantungan ini," katanya menerusi muat naik status di Facebook, hari ini.

Beliau pada masa sama, mengakui tidak pernah dipanggil oleh Ahli Majlis Mara mahupun Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob susulan isu penajaan UniKL dan pelaburan Mara Berhad ke atas pasukan bola sepak Kelantan.

"Saya tidak tahu menahu hal mesyuarat khas ini (pagi tadi) dan saya juga belum mendapat maklum apa isunya kerana setakat ini saya tidak pernah diminta apa-apa penjelasan baik ahli majlis atau menteri," katanya.


Annuar berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Ketua Pengarah MARA Datuk Ibrahim Ahmad dan Ahli Majlis MARA Datuk Dr Yusof Yaacob yang memaklumkan mesyuarat khas diadakan dengan restu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Katanya, mesyuarat ahli majlis itu sepatutnya diadakan pada 14 Februari ini dan beliau bercadang untuk membincangkan beberapa isu berkaitan.