Pengguguran Datuk Seri Shafie Apdal dalam Kabinet sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tidak menjejaskan sokongan dari peringkat akar umbi UMNO Sabah terhadap parti itu.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Mohammed Rahezzal Shah Abdul Karim, berkata pengguguran Shafie tidak bererti Sabah akan dipinggirkan terutamanya membabitkan pembangunan di negeri itu.

"Saya fikir tidak menjejaskan sokongan terhadap UMNO di Sabah di sebalik pengguguran Shafie. Sokongan kepada kerajaan tidak akan beralih," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohammed Rahezzal berpendapat kerajaan masih perlu menjelaskan beberapa isu termasuk membabitkan syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kerajaan masih tetap kena jelaskan dengan segera tentang pelbagai isu terutama 1MDB. Rakyat Sabah masih menantikan jawapan kepada beberapa persoalan yang masih belum terjawab," katanya.

Nada berbeza dinyatakan penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Zaini Othman yang berpandangan pengguguran Shafie bakal mewujudkan krisis dalaman kepimpinan UMNO.

"Jika kita bercakap dari sudut real politik tidak dinafikan pengguguran Shafie bakal mewujudkan krisis dalaman. Jika tidak dibendung dan diurus dengan baik bakal memberi impak politik yang agak besar magnitudnya," ulas Zaini.

Sementara itu, beliau pada masa sama memuji keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan Datuk Seri Salleh Said yang merupakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke dalam kabinet sebagai langkah bijak.

"Dalam erti kata lain beliau (Salleh) dilihat oleh Najib sebagai sosok yang stood behind the boss in what ever circumstances no matter during good times or bad times," katanya lagi

Selepas pengumuman rombakan kabinet dilakukan semalam, enam menteri serta sembilan timbalan menteri baru mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Di-Pertuan Agung pagi Rabu.