Pengguna jalan raya di Selangor didapati lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2018.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib berkata sepanjang operasi selama dua minggu itu berakhir semalam sebanyak 1,828 saman dikeluarkan berbanding 2,235 saman bagi tempoh sama tahun lalu.

“Kita lihat penurunan ini adalah lebih kurang sebanyak 18 peratus penurunan saman yang di keluarkan secara total.

“Ini menunjukkan bahawa dari segi pengguna jalan raya, kesedaran lebih tinggi sepanjang operasi jalan raya yang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi JPJ dalam Ops Khas Motosikal sempena Hari Raya JPJ di Plaza Tol PJS 2 Lebuhraya NPE malam tadi.

Katanya, sehingga semalam juga JPJ Selangor memeriksa 5,229 kenderaan di seluruh negeri itu.

"Motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak ditahan iaitu 3,820 buah diikuti bas 839, sementara kereta 350 dan lori 220.

"Daripada jumlah pemeriksaan itu sebanyak 485 pemilik motosikal dikenakan tindakan. Pemandu bas (220), lori (55) dan kereta 30," katanya.

Tambah Nazli, jumlah kenderaan yang disita sepanjang operasi HRA 2018 adalah sebanyak 58 buah dengan 56 adalah motosikal manakala dua lagi lori.

Selain itu, beliau memberitahu, pegawai dan anggota JPJ Selangor juga meneruskan operasi penyamaran di dalam bas ekspres dengan 136 kesalahan dikesan dilakukan pemandu bas.