Pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur dinasihatkan agar menggunakan laluan alternatif selain menggunakan Jalan Seremban-Kuala Pilah bagi mengelakkan kesesakan trafik di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) Syahrul Nizam Saleh berkata terdapat beberapa laluan alternatif untuk ke Pantai Timur antaranya ialah Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang-Muadzam Shah-Kuantan atau laluan Rembau-Bandar Baru Serting dan menuju ke Kuantan.

"Antara strategi lain bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas Jalan Seremban-Kuala Pilah, sebanyak enam lampu isyarat akan ditutup bagi melancarkan perjalanan trafik bermula esok sehingga 18 Jun.

"Selain itu pihak MDKP dengan kerjasama pihak penguat kuasa akan meletakkan anggota di lapan persimpangan utama yang boleh menyebabkan kesesakan trafik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa persimpangan masuk ke kawasan bandar Kuala Pilah juga akan ditutup antaranya persimpangan Jalan Undang Johol-Jalan Perpatih, Jalan Dato' Undang Johol-Jalan Dato' Manap dan Jalan Dato' Undang Johol-Jalan Ulu Muar bermula esok sehingga 18 Jun.

"Bagi pengguna yang ingin masuk ke kawasan bandar Kuala Pilah dari arah Jempol perlu melalui lorong bersebelahan bank RHB Kuala Pilah atau Taman Rekreasi Jalan Bukit manakala pengguna dari arah Seremban hendaklah membuat pusingan U di persimpangan Masjid Jamek Yam Tuan Raden.

"Bagi memastikan segala maklumat berkenaan lalu lintas, pengguna boleh mendapatkannya daripada media sosial Info Trafik Rasmi Kuala Pilah-Seremban di facebook manakala twitter Info_TrafikKP dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi talian 06-4842999," katanya.

-- BERNAMA