Baru sahaja masuk hari kedua Ramadan, rungutan mengenai harga sayur naik mendadak sudah timbul di Kedah.

Pastinya lebih terkesan mereka yang berpendapatan rendah.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati bukan sahaja pengguna malah peniaga juga mengeluh.

Rata-rata yang ditemui berkata cuaca bukan faktor alasan kenaikan harga, kerana setiap kali tiba bulan Ramadan, bekalan sayur yang diperoleh daripada pemborong berkurangan.

Susulan bekalan sayur yang tidak mencukupi, peniaga terpaksa menaikkan harga.

Tinjauan mendapati sawi dijual pada harga RM6 ke RM7 sekilogram, berbanding sebelum ini pada RM3 ke RM4 sahaja. Peria turut mengalami peningkatan harga sebanyak RM2 ke RM3 sekilogram.

Minggu lalu, daun sup dijual pada harga RM6 ke RM7 sekilogram tetapi minggu ini meningkat kepada RM12. Manakala cili besar yang sebelum ini dijual RM8, sekarang meningkat kepada RM12 sekilogram.

Sementara itu, pengguna berkata mereka terbeban dengan kenaikan harga itu dan meminta pihak yang berwajib segera memantau keadaan semasa bagi mengelakkan pihak yang cuba mengambil kesempatan.