Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa Kalimantan Utara, Indonesia masih berusaha untuk merealisasikan cadangan pelaksanaan urusniaga perdagangan antara kedua-dua wilayah dalam mata wang Ringgit atau Rupiah, tanpa menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata jika berjaya, langkah tersebut dapat meningkatkan nilai mata wang kedua-dua negara selain mampu mempercepat dan memudahkan urusniaga.

Katanya, perkara itu mampu dilaksanakan memandangkan sebelum ini, Indonesia dan Thailand turut berjaya menjalankan perdagangan antara kedua-kedua negara dengan menggunakan mata wang Baht dan Rupiah.

"Ia satu langkah yang cukup baik kalau di antara Malaysia dan Indonesia juga, kita guna mata wang masing-masing. Ia akan mengukuhkan bukan hanya Ringgit bahkan Rupiah juga," katanya dalam sidang akhbar bersama Gabenor Kalimantan, Dr H. Irianto Lambrie, selepas sesi pertemuan kedua-dua pemimpin di sini, hari ini.

Untuk rekod, hubungan dagang antara pantai timur Sabah dan Kalimantan telah lama terjalin terutama aktiviti eksport dan import barangan keperluan harian.

Sebelum ini, Mohd Shafie berkata, Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memperkasakan lagi aktiviti perdagangan antara kedua-dua wilayah itu agar mampu memberi impak ekonomi kepada negeri ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan di pantai timur Sabah.

Mengulas mengenai pertemuan itu, beliau berkata, fokus utama perbincangan adalah berkaitan proses penambahbaikan hubungan dagang antara kedua-dua pihak termasuk membuat keputusan yang baik bagi perkara-perkara yang tertakluk di dalam bidang kuasa kedua-dua wilayah.

"Ada beberapa langkah telah kita perincikan di peringkat teknikal komuniti dan ini akan dibincangkan secara lanjut membabitkan pihak berkuasa Jakarta dan Kuala Lumpur manakala di peringkat negeri Sabah dengan Kalimantan Utara, bidang kuasa itu kita boleh selesaikan bersama.

"Ini merupakan salah satu usaha perkembangan cukup baik dengan apa yang diperincikan dan dibincangkan sehingga termasuklah dagangan ayam, beras dan lain-lain," tambahnya.