Tutup

Penghadang jalan tidak ditutup punca mangsa dirempuh kereta api

Penghadang jalan tidak ditutup punca mangsa dirempuh kereta api
Penghadang jalan yang tidak ditutup dipercayai menjadi punca kemalangan ini. -Astro AWANI
KOTA KINABALU: "Saya terdengar bunyi siren kereta api tetapi penghadang jalan itu tidak tertutup, kemungkinan pemandu itu tidak menyedari kereta api berkenaan."

Demikian kata saksi, Abdul Karim Abdul Ghani, 64, mengenai insiden kenderaan dirempuh kereta api dalam kejadian di kawasan Tugu Peringatan Petagas, dekat sini, petang tadi.

Menurutnya, ketika kejadian, penghadang jalan di laluan kereta api berkenaan yang tidak berfungsi dipercayai menjadi punca kemalangan itu.

"Sebagai peniaga di kawasan ini, saya selalu melihat penghadang itu kerap tidak berfungsi," katanya kepada Astro AWANI di gerai cendol miliknya berhampiran lokasi kejadian sebentar tadi.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.05 petang itu, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta Proton Preve dikatakan sedang keluar menuju ke jalan besar dari laluan masuk ke kawasan Tugu Peringatan Petagas.

Dengan tidak semena-mena, kenderaan mereka dirempuh dari bahagian kiri sebelum diseret di sepanjang landasan kereta api tersebut sejauh 200 meter.
Impak kemalangan itu, penumpang Daniel Shafwan Omar, 21, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) kira-kira jam 4 petang tadi, selepas mengalami kecederaan parah, manakala pemandu Mohd Amir Khairi Abdul Ghani, 20, cedera dan masih menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ngo Anak Avan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.18 petang sebelum 11 anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.

"Apabila pihak bomba tiba di lokasi kejadian itu, kita dapati bahawa kedua-dua mangsa dalam keadaan trauma dan kritikal selepas kenderaan yang dipandu mangsa diseret sejauh 200 meter," katanya.

Jelasnya, operasi tamat pada jam 1.47 petang dan mangsa yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan kecemasan.

Difahamkan kesemua penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari daerah Papar ke Tanjung Aru, Kota Kinabalu itu tidak mengalami sebarang kecederaan.