Seorang penghantar makanan segera ditemui mati dengan kesan tetakan di badannya dipercayai diserang beberapa suspek di Taman Rekreasi Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa lelaki berusia 33 tahun ditemui orang awam berlumuran darah kira-kira pukul tujuh pagi tadi.

Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian kepala, perut, siku dan belakang badan.

"Polis percaya mangsa diserang lebih seorang lelaki menggunakan senjata tajam dan kami turut menemui dua buah motosikal berhampirannya.

"Semasa kejadian itu, mangsa mungkin bersama seorang lagi rakannya dan kami sedang mengesan rakan mangsa untuk bantu siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.