Guru kelahiran Sabah, Sirhajwan Idek, 30 tahun, berjaya memecah rekod Malaysia apabila menjadi guru pertama dicalon sekali gus dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Award for Citizenship Global Educational Supplies and Solutions (GESS) semalam di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu.

Beliau menewaskan finalis dari tujuh buah negara lain seperti Emeriyah Arab Bersatu, United Kingdom, Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan Afrika bagi kategori tersebut.

Dalam pada itu, Sirhajwan berkongsi rahsia kejayaannya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

“Saya insan dan guru biasa cuma apa yang saya lakukan sehingga berjaya ke tahap ini adalah saya benar-benar mengejar impian saya dan meletakkan keyakinan dalam diri sendiri.

“Sebagai seorang guru, penduduk Sabah dan rakyat Malaysia, saya berasa banyak perkara perlu saya lakukan," katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan anugerah kali ini memberi seribu makna dan rasa kepada dirinya.

Ini katanya kerana, beliau meletakkan minat dan cinta dalam bidang ini sehingga mampu melakukan apa sahaja mahukan tanpa sebarang kekangan.

“Untuk pengetahuan, apabila saya merangkul Juara dunia bagi International Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris, saya berasa seperti memenangi pingat emas di Olimpik.

“Jadi kemenangan GESS kali ini saya berasa seperti memenangi anugerah di Oscar," katanya.

Selain itu, Sirhajwan seorang yang gemar mengadakan projek berdasarkan silibus pembelajaran yang mana ia selari dengan kokurikulum di sekolah.

“Saya sangat suka dengan idea kaedah projek ini dan saya masih mengkaji mengenainya kerana saya percaya, akhirnya ia memberi manfaat kepada pelajar dan diri saya juga," luah Sirhajwan.

Anugerah ini diberikan kepada pendidik yang mempamerkan kaedah atau pendekatan pembelajaran yang berkesan selain menghasilkan idea-idea bernas bagi memperbaiki mutu pendidikan.

Beliau dijangka pulang ke tanah air pada esok.

Biodata Sirhajwan Idek:

- Sirhajwan Idek merupakan guru dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah sejak 2012.
- Beliau dilahirkan di Kota Belud, Sabah.
- Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Institut Perguruan Gaya, Kota Kinabalu dan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Pencapaian:

- 2018: Finalis bagi GESS Outstanding Contribution in Education
- 2017: Juara dunia bagi International Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award di Paris.
-2017: Pemenang global Express Publishing IATEFL Scholarship di United Kingdom.
-2017: Ikon Guru Peringkat Kebangsaan , negeri Sabah dan daerah Keningau.
-2017: Global Teacher Prize
-2017: Bett Asia Collaboration Award
-2016: Pemenang global Macmillan Teacher At My Heart 2016 di United Kingdom.
-2016: Commonwealth Class Story Writing Teacher Category
-2015: SEAMEO Australia Education Link Award