Malaysia yakin usaha penghasilan vaksin COVID-19 bakal mengukuhkan hubungan multilateral Malaysia berteraskan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia merupakan titik mula dalam menentukan hala tuju baharu BRI pasca COVID-19.

Malah, jelas beliau pandemik tersebut turut memberi peluang kepada banyak negara untuk bangkit semula dengan lebih kukuh terutama dalam aspek ekonomi.

“Saya percaya, pandemik ini merupakan tragedi yang besar buat kita, tetapi rakan saya di China selalu mengingatkan pepatah mereka, sai weng shi ma, yan zhi fei fu yang bermaksud sesuatu kemunduran mungkin berubah menjadi rahmat dalam kesamaran.

“Pandemik ini memberi peluang kepada kita untuk bangkit semula secara berbeza dan lebih kuat.

“Kita dapat melonjak semula masa depan global ke arah yang lebih jitu di mana negara-negara bekerjasama berteraskan keterbukaan, keterangkuman dan kesaksamaan, dengan jaringan keselamatan sosial yang lebih kuat dan tidak mengorbankan kepentingan rakyat kita.

“Malaysia percaya, penghasilan vaksin dan memperbaharui kerjasama ekonomi akan menjadi titik mula kepada usaha multilateral ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Video Peringkat Tertinggi mengenai BRI berkaitan COVID-19 atas jemputan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi pada Khamis.

Dasar infrastruktur BRI adalah cetusan idea Presiden China, Xi Jinping tujuh tahun lalu, bagi tujuan menghidupkan semula Laluan Sutera yang pada zaman dahulu menghubungkan Asia dengan bahagian lain dunia, antaranya menerusi pembinaan landasan kereta api, lapangan terbang dan saluran paip.