Bagi menyempurnakan Hari Kemerdekaan yang berbaki kurang 10 hari lagi, sekumpulan enam pendaki wanita tekad menempuh cabaran menakluk puncak tertinggi di Rusia dan Eropah, Gunung Elbrus.

Selain penghidap kanser Ren'ee Aziz Ahmad, 56 tahun; turut bersamanya adalah Nurul Huda Shamsuddin, 31; Nir Azmin Adnan, 34; Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35; Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30; dan Fazilah Abd Manan, 41.

Misi yang dinamakan Kembara Srikandi Prihatin Negaraku (KSPN) ini bertujuan memberi inspirasi kepada golongan wanita dan rakyat Malaysia amnya untuk percaya kepada kemampuan dan keupayaan sendiri.

Ia juga diadakan bersempena Hari Wanita Kebangsaan pada 25 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu malam untuk memberikan semangat kepada keenam-enam pendaki sebelum berlepas.

Menurut Mas Ermieyati, misi ini merupakan inspirasi kepada wanita Malaysia untuk terus cekal dan bersemangat.

"Kembara ini turut membawa mesej kepada pesakit kanser supaya terus bangkit dan positif dalam menghadapi cabaran hidup," katanya.

Pendakian akan bermula pada 25 Ogos dan para pendaki dijangka tiba di puncak Gunung Elbrus yang berketinggian 5,642 meter pada 31 Ogos.

Seterusnya para pendaki negara akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbolik meraikan Hari Kebangsaan ke-60.