Kehidupan di sebalik tirai besi tidak memutuskan semangat 24 penghuni Penjara Puncak Borneo untuk memberi sumbangan bermakna buat komuniti.

Bermula sejak 1 April lalu, mereka menghasilkan ratusan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk diagihkan kepada petugas kesihatan di Sarawak.

Menurut Pengarah Penjara Puncak Borneo, PPK Hamdan Salleh Majin, mereka gunakan kepakaran jahitan yang dipelajari di situ untuk menghasilkan kelengkapan tersebut.

Sumbangan sedia untuk diagih kepada petugas kesihatan

Antara PPE yang dihasilkan termasuklah stoking, sarung kasut, topeng muka dan pakaian.
Jelas Hamdan lagi, setiap hari mereka mampu hasilkan sehingga 600 unit bagi setiap item, sekiranya mereka mempunyai bahan jahitan yang mencukupi.

Salah seorang penghuni dilihat sibut menyiapkan PPE

Sumbangan mereka beri makna besar buat masyarakat diluar sana

“Sehingga hari ini ataupun semalam, mereka telah menjahit hampir 1,500 untuk tiga jenis item,” katanya.

Kelengkapan itu kemudiannya diberikan kepada Sarawak Multimedia Authority (SMA) untuk diagihkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak.

Selain SMA, projek ini turut menerima sumbangan bahan jahitan daripada Tanoti House, Sarawak.

Mereka yang terlibat dilihat sibuk menghasilkan kelengkapan buat petugas barisan hadapan.

Hamdan Salleh turut menyeru mana-mana pihak untuk sama-sama menyumbang bagi membantu usaha murni itu selain menambah jumlah penghasilan kelengkapan tersebut bagi memerangi COVID-19.

“Diharapkan kepada unit-unit atau NGO yang sudi kalau ada, boleh menghubungi kami di Penjara Puncak Borneo untuk jahitan, kerana kami tidak kenakan bayaran, cuma bahan yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi wartawan AWANI Sarawak pada Rabu.