Pengiktirafan AS terhadap Baitulmaqdis langkah silap - GMM

Pengiktirafan AS terhadap Baitulmaqdis langkah silap - GMM
NASHARUDIN: GMMF terus memperjuangkan serta menghormati konsensus antarabangsa tentang Baitulmaqdis, sebagaimana termaktub antara lain, dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSCR) 476 dan 478.
KUALA LUMPUR: Pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah satu langkah silap kerana ia dilakukan tanpa mengambil kira sensitiviti rantau berkenaan, kata Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

"GMMF terus memperjuangkan serta menghormati konsensus antarabangsa tentang Baitulmaqdis, sebagaimana termaktub antara lain, dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSCR) 476 dan 478," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

UNSCR 476 mengisytiharkan bahawa semua langkah legislatif dan pentadbiran yang diambil oleh Israel untuk mengubah sifat dan status Kota Suci Baitulmaqdis tidak punya kesahihan undang-undang sementara UNSCR 478 mengutuk percubaan Israel untuk merampas Baitulmaqdis Timur dan mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel "yang lengkap dan bersatu".
BACA: Amerika Syarikat secara rasmi iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel

Jerusalem atau Baitulmuqaddis adalah kota yang dianggap suci oleh tiga agama dunia - Islam, Kristian dan Yahudi.

Bagi penganut Islam, kota itu adalah yang ketiga paling suci selepas Mekah dan Madinah.

Presiden AS Donald Trump pada Rabu mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menyatakan AS akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis tidak lama lagi.

-- BERNAMA