Pengkursus ibadat haji diwajibkan mengikuti kursus Sijil Pembimbing Ibadah Haji (SPIH) bermula 2018, bagi membolehkan mereka ditawarkan menjadi pembimbing ibadah haji di tanah suci Mekah.

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ia akan menjadi sebahagian daripada syarat wajib selain pemantauan yang dibuat terhadap prestasi mereka.

"Kami ada banyak tapisan dan ujian yang kami buat untuk melayakkan seseorang menjadi pengkursus ibadah haji di tanah suci dan juga apabila telah tiba masa dengan pengalaman dan pemantauan yang kami buat terhadap prestasi mereka, akan ditawarkan mereka jadi pembimbing ibadah haji di tanah suci.

"Jadi saya rasa dalam masa terdekat dalam tempoh setahun dua ini kita akan menjadikannya sebagai satu syarat bagi semua pengkursus ibadah haji di tanah air mendapatkan SPIH sebelum mereka ditawarkan jadi pembimbing ibadah haji di tanah suci," katanya kepada pemberita pada majlis Penganugerahan SPIH dan Penutup Program SPIH 2016.

Pada majlis itu sebanyak 72 peserta ditauliahkan selepas menyertai kursus selama enam hari bermula 28 Mei.

Syed Saleh berkata SPIH telah diadakan sejak 2009 dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan sehingga kini sebanyak 500 pengkursus ibadah haji telah mengikuti SPIH dan 50 orang pembimbing ibadah haji dibawa ke tanah suci setiap tahun.

Melalui tapisan

"Kursus ini juga terbuka kepada orang ramai yang berminat tetapi untuk menjadi pembimbing kami akan pilih dalam kalangan pengkursus ibadat haji yang telah melalui pelbagai tapisan sebelum menjadi pengkursus dan dengan itu mereka melayakkan diri pula menjadi pembimbing.

"Selain itu kami juga ada satu lagi jenis sijil yang dijalankan bersama USIM iaitu Sijil Petugas Agensi Haji iaitu mereka yang bertugas dengan syarikat swasta yang dilesenkan Tabung Haji untuk kendalikan pakej-pakej haji di tanah suci.

"Ia akan memastikan petugas syarikat ini mempunyai satu tahap pemahaman dan etika yang kita kehendaki agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah haji," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syed Saleh berkata Malaysia mendapat pengiktirafan daripada Arab Saudi sebagai rombongan haji dan bimbingan haji terbaik tahun lepas.

"Ini adalah berikutan para jemaah haji kita sendiri yang lebih disiplin dan lebih menumpukan perhatian kepada ibadah dan tidak melakukan perkara di luar hukum ibadah haji. Kursus yang kita adakan untuk mereka (jemaah haji) membuatkan mereka lebih bersedia dalam mengendalikan diri mereka semasa di tanah suci dan tidak mengikut mana-mana pihak yang menyalahi undang-undang Arab Saudi,”
katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USIM Prof Datuk Dr Musa Ahmad mencadangkan agar SPIH dibuat ke peringkat lebih tinggi iaitu Diploma dan Ijazah.

"Sekarang ini di peringkat sijil, modul telah ada dan mungkin ia boleh ditambah baik untuk kami tawarkan bagi peringkat diploma dan ijazah kerana tenaga pengajar juga telah ada. Kami ada melihat keperluan ke arah itu,” katanya.