Penglibatan ibu bapa dalam aktiviti akademik mahupun kokurikulum di sekolah bukan sahaja membantu menyokong sekolah dan para guru tetapi pemangkin memberi semangat serta motivasi kepada anak-anak dalam pembelajaran.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025, kejayaan saranan ibu bapa merupakan salah satu daripada inspirasi PPPM.

“Penglibatan komuniti dalam pendidikan di tempat masing-masing semakin meningkat. Peratusan dan penglibatan ibu bapa secara langsung di beberapa daerah dan tempat telah ada. Jadi kami menyeru ibu bapa supaya menjadi aktif, proaktif, kreatif dan memberi inovasi kepada pendidikan di tempat masing-masing,” tambah beliau lagi sewaktu ditemui di Program Ziarah Kasih Di Pedu, Kuala Nerang, Kedah.


Mahdzir berkata demikian sebagai sokongan ke atas Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam di Pekan, Pahang yang menekankan kejayaan pendidikan bergantung kepada sokongan keseluruhan segmen komuniti di negara ini.

Tambah Mahdzir lagi, kepentingan dan kesedaran komuniti terhadap bidang pendidikan anak-anak mereka juga semakin meningkat.

Ini terbukti apabila penduduk luar bandar sendiri turut melibatkan diri dalam aktiviti pendidikan di sekolah anak mereka.