Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan penglibatan golongan muda dalam gejala rasuah amat membimbangkan.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, kurang kesedaran dan pendedahan dipercayai antara punca golongan belia terjerumus dalam gejala itu.

Menurut Latheefa, pihaknya akan memfokuskan isu tersebut dengan mempertingkatkan program-program bersifat pencegahan.

“Boleh kata adalah satu perkara yang masih dalam tahap membimbangkan... mungkin kerana kekurangan pendedahan (tentang) apa itu rasuah.

“Kekurangan dalam silibus di peringkat pendidikan dan mata pelajaran, itu yang kami akan tekankan (termasuk) kekurangan sensitiviti bahawa rasuah itu adalah haram bukan sahaja setakat makan tetapi haram dari segi pengunaan duit tersebut, “ katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau, selain membuat operasi dan tangkapan, pihaknya juga akan menerapkan elemen pendidikan.

“Jadi itu yang kita nak tekankan dan kami rasa kami bertanggungjawab sebagai SPRM ini, adalah di bawah akta kami dan sebab itu kami nak fokus juga kepada bab pencegahan ini dan pendidikan,” katanya.

Katanya lagi, inisiatif yang dilaksanakan itu sebagai usaha dalam memberi kesedaran khususnya kepada golongan remaja dan belia.