Kekuatan negara terletak kepada pengorbanan semua pihak dengan mengenepikan perbezaan antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelas beliau, semangat kesatuan dan perpaduan harus dijadikan aset untuk sama-sama merencana strategi dalam membikin sebuah negara bangsa yang berjati diri serta berjaya.

"Kerana, dengan adanya kesatuanlah, khususnya dalam kalangan umat Islam dan rakyat di negara ini, kita telah berjaya bebas daripada belenggu penjajahan kepada mencapai kemerdekaan.

"Melalui penyatuan dan permuafakatan juga, kita bukan sahaja telah mampu membawa rakyat negara ini keluar daripada kepompong kemiskinan kepada kemajuan, bahkan kini, sedang rancak merintis jalan kemakmuran menuju ambang negara maju High Income Advanced Economy," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439H/2017M di sini hari ini.

Tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini adalah, 'Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara'.

Dalam pada itu tegas perdana menteri, tidak ada negara lain lebih baik dari Malaysia, yang boleh menjadi model kejayaan ekonomi umat Islam selain contoh gambaran Islam yang sebenar.

"Apa yang lebih menarik, melalui hubungan diplomasi dan dasar berbaik-baik Malaysia dengan beberapa negara utama di dunia seperti China, Amerika Syarikat dan India serta Arab Saudi, ternyata membuahkan hasil.

"Malaysia bukan sahaja telah dijadikan role model sebagai negara Islam contoh yang maju lagi progresif, bahkan turut diakui signifikannya sebagai antara pelaku global utama di arena antarabangsa," jelasnya.

Sementara itu, Bekas Yang Dipertua Sabah, Tun Dr. Sakaran Dandai diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1439 Hijrah bersamaan 2017 Masihi.

Sakaran, 87, dilahirkan di Kampung Air, Semporna, Sabah menerima wang tunai RM100,000, pingat dan sijil penghargaan.