Polis menahan lima lelaki selepas tindakan di luar kawalan mereka melakukan provokasi termasuk membaling air kencing dan tahi lembu terhadap pihak berkuasa dalam Ops Roboh-Kandang Lembu di Bandar Botanic, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kira-kira jam 9.40 pagi, perbincangan untuk perobohan di antara pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama wakil penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) berjalan lancar.

Menurutnya, pihak MPK telah berjaya masuk ke kawasan kandang lembu bersama jentolak walaupun ada beberapa bantahan daripada individu yang cuba menghalang.

“Bagaimanapun, semasa penugasan itu dijalankan, seorang lelaki dipercayai penternak lembu itu telah menghalang polis daripada menjalankan tugas kawalan.

“Lelaki tersebut telah membaling air kencing dan tahi lembu kepada petugas,”katanya.

Beliau berkata, malah, ada empat lagi lelaki turut mengadakan provokasi dengan menolak pihak penguatkuasa.

Katanya, susulan itu, kesemua individu berusia 24 hingga 59 tahun telah ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, operasi kemudian ditangguhkan selama dua hari atas permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sentosa, G Gunaraj dan telah dipersetujui oleh pihak Pejabat Daerah Klang dengan surat akujanji daripada pengusaha untuk mengeluarkan semua baki lembu yang ada.

“Sebahagian lembu telah dipindahkan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran bersama Veterinar MPK ke Pusat Tahanan Haiwan di Pulau Indah,” katanya.

Difahamkan, kandang lembu tersebut dibina di atas tanah rizab kerajaan sejak 16 tahun lalu.

Sementara itu, Pejabat Daerah Klang dalam satu kenyataan menjelaskan, operasi yang dijalankan bersama pihak polis, MPK, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor adalah bagi membolehkan kerja-kerja menaiktaraf tebatan banjir Sungai Aur Fasa 5 dan proses tender masjid dimulakan.

“Kita pernah terima aduan tentang ternakan lembu tanpa kebenaran di kawasan tersebut dan pihak veterinar juga pernah menjalankan perbincangan dengan pemilik ternakan tersebut dengan menawarkan tapak ternakan seluas lima ekar, namun ditolak atas alasan pasaran perniagaan adalah di Klang.

“Bagi projek tebatan banjir Sungai Aur oleh JPS, ia bagi mengurangkan risiko banjir khususnya bagi kawasan Sentosa dan keperluan tapak masjid oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” katanya.