Penguatkuasaan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan akan dilakukan secara berperingkat bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kepentingan CRS, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

"Kami nak mulakan inisiatif ini tapi ia lebih kepada soal pendidikan terlebih dahulu, nak didik dan beri kesedaran kepada orang ramai, dan penguatkuasaan akan dilakukan secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di sini pada Selasa.

Kerajaan mewajibkan penggunaan CRS dalam kereta bermula 1 Jan tahun depan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang memberi subsidi kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan memenuhi peraturan penggunaan CRS, Loke berkata tiada peruntukan disediakan untuk menggalakkan penggunaannya.

"Bagaimanapun, kami sudah minta supaya pengurangan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) sebanyak lima peratus dan cukai import dimansuhkan terhadap produk ini. Sudah tentu apabila ada permintaan tinggi, saya yakin harga itu akan turun untuk pasaran domestik," katanya.

Mengulas tindakan kerajaan Selangor yang akan mengenakan caj terhadap warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor, Loke berkata ia adalah bidang kuasa kerajaan Selangor dan terpulang kepada kerajaan negeri itu memutuskannya kerana perkhidmatan itu diperuntukkan melalui belanjawan negeri.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sebelum ini dilaporkan berkata warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas Smart Selangor akan dikenakan caj sebanyak RM1 dan kutipan bayaran itu akan digunakan untuk menyelenggara serta menambah jumlah bas bagi laluan bas Smart Selangor.

-- BERNAMA