Tutup

Pengundi bukan Islam tidak perlu risau, RUU bukan hudud - Noh

Pengundi bukan Islam tidak perlu risau, RUU bukan hudud - Noh
Noh bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melancarkan Jentera Bermotor Pemuda BN Sungai Besar pada majlis penutup Karnival Sukan BN Sungai Besar di Padang SMJK Yoke Kuan, Sekinchan. - fotoBERNAMA
SABAK BERNAM: Pengundi bukan Islam di kawasan Parlimen Sungai Besar telah dinasihatkan supaya tidak risau dengan usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 kerana ia tiada kaitan dengan hudud.

Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata usul itu hanyalah cadangan memperkasakan Mahkamah Syariah dan ia tidak melibatkan orang bukan Islam.
"Sekarang Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman tidak melebihi tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan dan hukuman ini sudah tiba masanya wajar dipinda.

"Usul berkenaan hanya untuk meminda undang-undang yang telah sedia ada di Malaysia dan bukan untuk membuat undang-undang baharu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Selangor di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPAM, Datuk Ogu Salim Omar. 

Anggota Parlimen Tanjung Karang itu berkata, isu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul berkenaan sengaja dipolitikkan bagi menunjukkan seolah-olah wujud kerjasama antara UMNO dengan PAS.

"Tidak wujud sebarang kerjasama atau hubungan. Malah di kedua-dua pilihan raya kecil (PRK), di Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, UMNO dan PAS meletakkan calon masing-masing," katanya.

PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas pesawat helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. 

Kedua-dua PRK diadakan serentak pada 18 Jun ini manakala hari penamaan calon pada 5 Jun.