Air terjun Lata Me­raung di Kampung Sungai Kiol, Jerantut, yang dahulunya jernih kini menjadi keruh sejak dua tiga minggu lalu.

Bukan sahaja keruh, bahkan paras air yang dahulunya diakui dalam oleh penduduk tempatan, kini semakin cetek sekadar paras pinggang kerana dipenuhi selut.

Punca air di Lata Meraung datangnya dari Sungai Ulu Cheka namun penduduk tidak pasti dari mana bermulanya kekeruhan tersebut tetapi penduduk tidak menolak kemungkinan ada kegiatan pembalakan berlaku di sekitar kawasan air terjun itu.


Seorang pengunjung dari Johor, Aidi Idrus, 41 tahun, berkongsi rasa terkejut apabila tiba di Lata Meraung kerana beranggapan air di situ sepatutnya jernih memandangkan sekarang bukan musim hujan.

"Bila kita datang ni, harapan kita dapat tengok air jernih dan air terjun yang cantik, dengan dia punya latar belakang alam semula jadi. Tapi bila sampai sini tengok air keruh.

"Jadi kecewa jugalah, datang jauh-jauh tengok air keruh. Tak sepatutnya berlaku di kawasan hutan rizab macam ni sebab ikutkan sekarang ni musim kemarau. Musim kering sepatutnya air jernih," keluhnya.

Seorang penduduk tempatan, N. Anan, 36 tahun, pula berkata, keadaan itu amat mengecewakannya yang sering menjadikan Lata Meraung sebagai lokasi beriadah hampir setiap minggu.

"Dulu air di sini memang bersih dan tak kotor macam sekarang. Air teruk, warna pun coklat. Nak turun mandi pun tak lalu sekarang ni. (Keadaan) ini sudah lebih kurang dua tiga minggu ni. Sebelum ni memang tak ada macam ni," ujarnya.

Bagi pengunjung dari Perak, Yusuf Laldin, 67 tahun, yang datang bercuti bersama keluarganya ternyata kecewa dengan apa yang terbentang di hadapan matanya.

Harapan beliau untuk melihat keindahan Lata Meraung meleset kerana air sungai dan air terjunnya kekuningan dan menimbulkan bau yang tidak menyenangkan.

"Air ada bau. Mandi pun tak ada 'selera'. Bau sikit. Tak elok. Biasa air bersih tapi ini hari sudah lain macam. Tak elok," katanya.

Penduduk dari Padang Piol Jerantut Pahang, Raja Mariam Raja Kasim, 61 tahun, berharap pihak berwajib memantau keadaan di situ kerana air yang keruh mengundang pemandangan kurang senang lebih-lebih lagi terhadap pengunjung luar.

"Mak cik selalu pergi bahagian luar berdekatan padang golf dengan anak anak dan keluarga. Hari ni (semalam) datang tengok air keruh, masuk ke dalam bahagian air terjun pun keruh juga.

"Sedih juga bila tengok situasi macam ni. Sebab sebelum ni air jernih, cantik. Kalau pelancong asing datang sini, rakyat Malaysia malulah. Pelancong pun ada yang masuk ke sini. Setahu saya sungai ni jadi sumber air penduduk di perkampungan Orang Asli berdekatan," jelasnya.

Menurut maklumat dari Tok Batin di Kampung Orang Asli Sungai Kiol, terdapat sejumlah 202 keluarga dengan 805 penduduk Orang Asli tinggal di kampung berhampiran.

Sebanyak 30 buah rumah yang masih menggunakan sumber air dari Lata Meraung manakala sebahagian besar penduduk yang lain menggunakan air bekalan dari Jabatan Bekalan Air.

Walaupun hanya sebahagian kecil yang mengunakan air tersebut untuk makan, minum dan mandi namun dikhuatiri sekiranya air yang tercemar akan berikan kesan pada kesihatan penduduk.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Roslan Idris, 50 tahun, juga berharap pihak berkuasa memantau aktiviti pembalakan berdekatan perkampungan tersebut serta membaik pulih Lata Meraung untuk kemudahan pengunjung.

"Saya minta minta sangatlah jasa baik pihak berkuasa, tolong pantau tentang hal air ini.

"Kalau dah tercemar macam ni, tak seronoklah. Yang kena kita orang kampung juga," katanya.

Tinjauan juga menemui satu notis yang ditampal pada kaunter di pintu masuk taman eko rimba tersebut oleh Jabatan Perhutanan Jerantut. Ia memaklumkan bahawa lokasi itu ditutup seketika sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Air terjun itu terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Jerantut yang turut menempatkan Taman Eko Rimba Lata Meraung. Lokasinya terletak kira-kira 16 kilometer (km) dari bandar Jerantut dan kira-kira 205km dari bandar Kuantan, menjadi tumpuan pengunjung sejak ia dibuka pada tahun 1991.