Seorang pengunjung pub mati ditetak manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri selepas diserang tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian di Gelang Patah, Nusajaya, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira 2 pagi ketika mangsa - Liew Poh Heng, 22, dan rakannya berusia 21 tahun hendak menaiki motosikal pulang ke rumah selepas minum di sebuah pub berdekatan bersama tiga lagi rakan mereka.

Menurutnya, semasa mangsa baru sahaja beredar, sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu telah meluru ke arah mereka, sebelum tiga suspek keluar dan menyerang kedua-duanya menggunakan parang.

"Si mati telah ditetak beberapa kali, manakala rakannya berjaya melarikan diri. Si mati yang cedera di kepala, tangan kiri dan kaki telah disahkan meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya dalam satu kenyataan, di sini Ahad.

Noor Hashim berkata berdasarkan semakan, kereta yang diguna suspek dan ditinggalkan di tempat kejadian selepas menyerang kedua-dua mangsa, didapati dicuri di kawasan Taman Nusajaya Emas.

Polis kini masih menyiasat motif kejadian di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.