Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) berterima kasih kepada Kabinet di atas pengurangan Kadar Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) dan menyatakan langkah itu membantu menggalakkan sektor pelancongan di Malaysia.

Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata ia adalah amalan terbaik apabila pelanggan dikenakan kadar yang berpatutan berdasarkan tahap perkhidmatan.

"Penjimatan cukai lapangan terbang sebanyak RM23 pasti memberi manfaat kepada penumpang kelas ekonomi, terutamanya yang berlepas dari klia2 yang direka sebagai terminal penerbangan tambang murah dengan kemudahan yang kurang daripada KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

"Pengurangan itu juga akan memberi manfaat kepada pelancong yang berlepas dari Pulau Pinang dan Kota Kinabalu untuk penerbangan antarabangsa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada Jumaat mengumumkan kadar PSC untuk penerbangan antarabangsa di semua lapangan terbang di Malaysia, kecuali untuk KLIA, dikurangkan kepada RM50 daripada RM73, berkuat kuasa 1 Okt.

Kadar PSC untuk sektor lain di semua lapangan terbang, bagaimanapun, kekal pada RM35 untuk penumpang penerbangan ASEAN dan RM11 untuk penerbangan domestik.

-- BERNAMA