Pengurus rumah kebajikan yang didakwa memukul seorang kanak-kanak di pekarangan Rumah Kanak-Kanak Taiping, Jalan Stesen Hulu, Taiping, Perak, Ahad lalu, telah diarahkan bercuti sehingga siasatan polis selesai.

Ia susulan video seorang kanak-kanak dipukul setelah didakwa melekatkan gula-gula getah pada bonet sebuah kereta.

Timbalan Presiden rumah kanak-kanak tersebut, T Kunasegaran berkata, arahan itu juga bagi memberi laluan kepada pihak pengurusan mengadakan satu mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 3 Mac ini.

Menurutnya, kes itu membabitkan isu disiplin berlanjutan dan pihaknya memohon maaf kepada semua pihak di atas insiden berlaku.

Dakwanya, mangsa yang berusia 12 tahun juga mengakui kesalahan dilakukan dan menyifatkan tindakan diambil oleh pengurus berkenaan terhadapnya bertujuan memberi pengajaran dan bukan menderanya.

"Buat pengetahuan semua, kanak-kanak itu sememangnya mempunyai masalah disiplin dan pernah menimbulkan beberapa masalah sebelum ini," katanya kepada media sewaktu sesi lawatan mengejut Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Wong May Ing ke rumah kebajikan itu pada Khamis.


Video kejadian yang tular sejak Isnin memaparkan seorang lelaki dewasa memukul seorang kanak-kanak lelaki berulang kali di bahagian tengkuk.

Kunasegaran mengakui Rumah Kanak-kanak Taiping kini berdepan dengan siasatan polis susulan laporan keganasan fizikal pertama dibuat pada 6 Januari lalu, disusuli beberapa laporan polis lain oleh ibu bapa dan mangsa sehingga kini.

Menurutnya, susulan siri laporan polis itu, majoriti ahli jawatankuasa pengurusan rumah kebajikan itu menuntut penganjuran satu mesyuarat agung tergempar pada 3 Mac ini yang bakal membawa usul undi tidak percaya terhadap ahli lembaga pengurusan Rumah Kanak-kanak Taiping kelak.

BACA: Budak dipukul gara-gara lekat gula getah pada bonet kereta

Sementara itu, May Ing menegaskan Kerajaan Negeri memandang serius semua kes berkaitan penderaan kanak-kanak dan orang tua di rumah-rumah kebajikan yang terdapat di Perak.

Menurut beliau, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan semua agensi kerajaan berkaitan akan memantau rumah kanak-kanak dan kebajikan di Perak lebih kerap dan meminta mereka lebih bertanggungjawab terhadap penghuni.

"Alasan penghuni rumah kebajikan nakal dan bermasalah tidak boleh memberi mereka sebarang ruang untuk melakukan keganasan terhadap mereka,” katanya.

Beliau menegaskan mana-mana rumah kebajikan yang didapati terlibat dengan kes jenayah penderaan, JKM akan mengambil alih atau menutup sementara waktu sehingga siasatan polis selesai.

Katanya, walaupun hasil laporan JKM dan polis mengesahkan kejadian pengurus Rumah Kanak-kanak Taiping memukul seorang kanak-kanak bukan kes penderaan, tetapi ada kemungkinan perbuatan keganasan ke atas mangsa.

"Sebagai penyelesaian melalui kerjasama dengan JKM, kanak-kanak dan pengurus terbabit akan menjalani sesi kaunseling pada setiap bulan," ujarnya.