Seorang pengurus syarikat pembinaan cedera parah selepas dipercayai ditembak menggunakan senjata api dalam kejadian di hadapan kedai makan di Paradom di sini petang Ahad.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, maklumat awal mendapati mangsa sedang melakukan aktiviti memancing di hadapan kedai tersebut, sebelum diganggu oleh seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental.

“Berdasarkan maklumat awal, mangsa memukul lelaki terbabit (lelaki yang mengalami masalah mental).

“Sebelum sekumpulan lelaki datang ke tempat tersebut bersama tiga buah kenderaan dipercayai rakan lelaki terbabit.

“Salah seorang daripada mereka terus menembak mangsa sebelum melarikan diri,” jelasnya ketika dihubungi.

Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan dan memandu sendiri ke salah sebuah pusat perubatan swasta di sini untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Stanley, mangsa kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.