Perdana Menteri hari ini menyifatkan tuduhan bahawa kerajaan tidak memberi layanan sama kepada yang terkorban dalam peristiwa serangan Lahad Datu seperti mana layanan yang diberikan kepada mangsa MH17 adalah bertujuan untuk memecahbelahkan rakyat.

Datuk Seri Najib Razak bertegas sumbangan pasukan Polis dan Tentera dalam mempertahankan kedaulatan wilayah negara sentiasa dihargai dan disanjung.

Malah jelasnya, bantuan kepada pihak yang terkesan akibat peristiwa berkenaan sudah diberikan lebih daripada biasa.

“Walhal dalam hal ini, sama ada dalam peristiwa Lahad Datu, orang sama yang kata ini kononnya sandiwara, tetapi apabila berlaku kejadian MH17, kita beri penghormatan teristimewa, dia kata pulak kenapa pulak tak bagi yang sama pada anggota kita.

“Walhal awal lagi dia dah kata ini peristiwa sandiwara kita,” kata Najib.

Najib juga menyeru umat Islam di negara ini memohon rahmat Allah untuk menambah kekuatan ketika berdepan tempoh mencabar ini.

“Saya minta kita sama kuatkan iman kita, minta rahmat dari Allah supaya kita lebih berjaya menghadapi ujian ini, menambahkan kekuatan kita sebaliknya,” jelas Najib ketika merasmikan Majlis Perdana Ulama-Umarak Dan Anugerah Masjid Malaysia 2014, di sini.

Dalam ucapan sama, Najib turut menyentuh soal serangan Israel ke atas Gaza.

Katanya, kerajaan menyifatkan serangan Israel ke atas Gaza tidak mempunyai asas moral pada masa mempertikaikan aspek keadilan dalam peperangan yang menyaksikan regim Zionis membantai masyarakat yang terkepung.

“Mananya asas moral? Kalau kita nak perang ni mesti ada asas moral,” tegas Najib.

“Pertamanya, apabila sebuah kelompok masyarakat dikurung seolah-olah dalam penjara, malah pernah disebut Gaza itu penjara terbesar dunia.

“Di mana letaknya keadilan dalam peperangan?” soal Najib.