Mahkamah Koroner Seremban menetapkan 4 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes inkues kematian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, sementara menunggu pihak pengendali kes mengurangkan jumlah saksi yang dikemukakan.

Hakim Koroner Junaidah Mohd Isa membuat keputusan itu pada Jumaat selepas, pegawai pengendali kes, Mohamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah, pihaknya mengenal pasti seramai 589 saksi.

Mereka terdiri daripada pelbagai pihak termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), penduduk kampung, orang perseorangan, badan profesional dan lain-lain yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Bagaimanapun Junaidah berkata, pengendali kes perlu menyenaraikan nama saksi dengan lebih lengkap berserta peranan mereka ketika operasi SAR remaja berkenaan serta menyenaraikan perkara berbangkit lain.

Jelasnya, bilangan saksi tidak perlu sehingga lebih 500 orang kerana beliau percaya pegawai pengendali mempunyai maklumat tepat untuk mengenal pasti saksi yang sepatutnya dipanggil.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga Nora Anne, Datuk Sankara Nair berkata, keluarga mendiang remaja lembam itu telah memohon kepada mahkamah untuk membenarkan prosiding dibuat secara sidang video dan menggunakan Bahasa Inggeris.

Katanya, ini kerana mereka berada di luar negara selain mengambil kira proses inkues memakan masa yang lama.

Sebelum ini, keluarga Nora Anne juga telah mengemukakan saman berasingan terhadap pengendali pusat peranginan yang menjadi lokasi terakhir remaja itu dilihat, dengan alasan kecuaian dalam kematiannya.

Media sebelum ini melaporkan, Nora Anne bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019, sehari sebelum remaja itu dilaporkan hilang pada awal pagi keesokan hari.

Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi SAR dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 kilometer dari resort berkenaan.

Polis sebelum ini mengesahkan, hasil bedah siasat mendapati remaja itu telah mati kira-kira tiga hari sebelum ditemui selain tidak terdapat sebarang unsur jenayah termasuk dirogol.

Gadis itu disahkan mati akibat kebocoran pada usus berpunca kelaparan dalam tempoh yang lama dan hanya terdapat kesan calar kecil pada bahagian kaki yang tidak boleh menyebabkan kematian kepada mangsa.